Sabtu, 26 November 2011

Muhajirin dan Mujahirin

Kullu Sanatin Wa Hadratikum Bil Khair.. Selamat Menyambut tahun baru Hijrah 1433. Semoga dengan kehadiran Maal Hijrah ini kita semua dapat berhijrah ke sesuatu yang lebih baik. Sebagaimana Rasul dan para muhajirin berkorban demi sesuatu yang lebih baik untuk Islam.

Dua kalimah yang hampir sama bunyinya..namun cukup jauh maknanya. Muhajirin sebagaimana yang dimaklum ialah golongan Islam Mekah yang berhijrah ke Madinah.
Tetapi Mujahirin apa ye? Sehingga Hadis Nabi SAW yang bermaksud "Setiap umatku akan diampunkan kecuali Mujahirin".

Pengertian Mujaharah ialah..apabila seseorang melakukan maksiat di waktu malam, dan kemudian Allah SWT menutup keaibannya sehingga waktu subuh. Tetapi sebaliknya, si pelaku maksiat itu sendiri yang bercerita kepada orang lain tentang perbuatannya.

Mujahir ialah pelaku dosa dan maksiat sewaktu orang lain tidak mengetahui perihal perbuatannya itu..Ini digambarkan dalam keadaan waktu malam.Tetapi Allah Maha Pengampun lantas menutup keaibannya itu. Malangnya, keesokan harinya dia sendiri yang menghebahkan perbuatannya kepada orang lain. Tanpa rasa malu atau segan atau takut akan dosa. Seolah olah dia bangga dengan maksiat dosa yang dilakukan. Na'uzubillah.
Dosa Mujahirin ini tidak akan diampunkan oleh Allah SWT pada hari Kiamat. Golongan ini berdosa kerana 2 sebab :
  1. Dosa melakukan perkara maksiat tersebut
  2. Memandang ringan akan hak Allah ke atasnya serta tidak memperdulikan rahmat dan lindungan Allah terhadapnya, lalu membuka rahsia kejahatannya kepada orang lain, seolah olah mengajak orang lain membuat maksiat sepertinya.
Sabda Rasul SAW yang bermaksud : Telah termaktub di sisi Allah sebelum menjadikan setiap makhluk itu bahawa RahmatKU mengatasi kemarahanKU"

Sebaik baik mukmin, apabila melakukan dosa secara sengaja atau pun tidak, hendaklah menyembunyikan keaibannya dari orang lain.Pada masa yang sama, mesti berasa kesal di atas perbuatannya itu dan memohon keampunan kepada Allah SWT.
Ini bukan bermakna menyembunyikan maksiat itu dengan hasrat untuk mengulangi semula dosa tersebut. Tetapi menyembunyikan perkara tersebut kerana perasaan malu dan yang teramat kepada Allah dan Makhluk lain.

Sedar atau tidak, Amalan Mujaharah ini boleh dikatakan sebagai pendorong orang lain untuk melakukan maksiat. Pepatah melayu mengatakan " membuka pekung di dada" . Amalan menghebahkan maksiat ini juga sebenarnya ialah azab Allah di dunia kepada si Pelaku tersebut..

Semoga kedatangan Awal Muharam ini , kita dapat mencontohi kecekalan dan keimanan golongan Muhajirin. Berlawanan dengan itu kita hendaklah menghindari amalan Mujahirin... Jangan salah sebut.

WALLAHUA'LAM